Sabtu, 21 Februari 2015

Cara berwudu' sekiranya terdapat anggota wudhu' yang cedera atau berbalut





      Pada zaman ini, dengan adanya kenderaan yang berteknologi tinggi dan mampu bergerak dengan laju, seringkali kita mendengar berita-berita kemalangan jalan raya dan seringkali kita melihat orang yang berjalan menggunakan tongkat dan kakinya bersimen dan ada juga yang terluka anggota badan sehingga nampak isinya.

      Seperti yang diketahui, agama Islam agama yang syumul atau dalam bahasa Melayu disebut menyeluruh. Oleh itu, setiap permasalahan yang kita terfikir pada hari ini, sudah terdapat petunjuknya daripada zaman Rasulullah lagi dan sudah dibincangkan dalam kalangan ulama'.

     Namun, terdapat ramai muslim yang jahil akan agamanya -minta dijauhkan oleh Allah daripada saya dan para pembaca-. Sistem pendidikan pada hari ini juga membantu kejahilan umat ini termasuk yang belajar dalam bidang agama Islam. Contohnya, seseorang yang belajar al-Quran dan al-Sunnah dalam sistem exam-oriented pada zaman ini tidak tahu tentang fiqah, sebagai contoh dalam bab ini, bab berkaitan wudu' anggota yang sakit. Ramai yang menjadikan balutan sebagai alasan wudhuk tidak sah dan tidak boleh solat.

    Walaubagaimanapun, saya mengharapkan dan mendoakan kemenangan Islam di Malaysia dan seluruh dunia supaya saya dan seluruh umat ini kembali mengenali Islam.

     Untuk lebih memudahkan para pembaca memahami bab ini, eloklah kiranya saya hanya menyalin balik terjemahan tajuk Al-Jabaair dan Al-'Asaa'ib daripada kitab Al-fiqh Al-Manhaji.

Al-Jabaair dan Al-'Asaaib
     Al-Jabaair ialah kata jamak kepada jabiirah yang bermakna : ikatan yang diletakkan di atas anggota yang patah bagi mengikat atau membalutnya.

    Dan al-'asaa'ib ialahh kata jamak kepada 'isaabah yang bermakna : ikatan yang diletakkan di atas anggota yang luka bagi menjaganya daripada kototran-kotoran sehingga ia sembuh.

      Oleh kerana Islam adalah agama yang memudahkan maka ia telah mengambil berat dalam masalah ini di mana Islam telah mensyariatkan beberapa hukum yang menggabungkan antara menunaikan ibadah dan menjaga keselamatan manusia.


Hukum Al-Jabaair dan Al-'Asaa'ib

     Pesakit yang ditimpa luka atau patah, kadang-kadang berhajat kepada meletakkan ikatan (balutan) dan ubat di atas tempat luka atau patah dan kadang-kadang tidak memerlukannya.

      Sekiranya perlu meletakkan balutan, maka ketika itu dia wajib melakukan ttiga perkara :


1. Membasuh bahagian yang selamat (tidak sakit) di anggota yang luka atau patah.
2. Menyapu seluruh balutan atau ikatannya.3. Beertayamum sebagai ganti membasuh bahagian yang sakit apabila sampai kepada anggota tersebut ketika berwudhuk.

Menurut apa yang diperkatakan dalam kitab diatas, perlu kepada empat peringkat. Manakala pendapat lain dalam Mazhab Syafie, tayamum perlu dilakukan di akhir wudhuk. Pendapat yang lain pula, tidak pelu kepada tayamum jika sudah disapu. - Dr Abu Anas, Abdul Basit

     Sekiranya balutan di atas anggota yang luka atau patah tidak diperlukan, maka dia wajib membasuh bahagian anggota yang sihat dan bertayamum bagi menggantikan bahagian yang luka sekiranya dia tidak boleh membasuh tempat sakit (luka) tersebut. Dia wajib mengulangi tayamum pada setiap kali sembahyang fardhu sekalipun dia tidak berhadas. Manakala anggota-anggota lain, ia tidak wajib dibasuh (semula) melainkan sekiranya dia berhadas.

Dalil Menyapu Di atas Al-Jabaair

      
Dalil ia disyariatkan ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud (336) daripada Jabir r.a. bahawa dia berkata :

Kami telah keluar bermusafir, tiba-tiba salah seorang daripada kami, kepalanya terkena batu lalu melukakannya. Kemudian (ketika tidur) ia bermimpi (yang menyebabkannya berhadas besar) dan (apabila bangun) dia bertanya kepada para sahabatnya, 
"Adakah kamu dapati keringanan (keizinan) bagiku untuk bertayamum?". 
Mereka menjawab,
 " Kami tidak mendapati keringanan untuk kamu berbuat demikian kerana kamu mampu menggunakan air".
Lalu dia pun mandi kemudian mati. Apabila kami sampai kepada Rasulullah s.a.w., kami menceritakan apa yang berlaku. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, 
Mereka telah membunuhnya dan semoga Allah membunuh mereka. Kenapa mereka tidak bertanya apabila mereka tidak tahu? Sesungguhnya ubat kepada kesamaran atau kekeliruan itu ialah bertanya. Sesungguhnya memadai dengan dia bertayamum dan membalut lukanya dengan perca kain, kemudian menyapu di atasnya dan membasuh seluruh badannya.
Tempoh Menyapu Di atas Al-Jabiirah dan Al-'Isaabah

     Menyapu di atas al-jabiirah dan al-'isaabah (balutan), tidak mempunyai tempoh yang tertentu, bahkan ia berterusan selama mana sakit (keuzuran) itu masih ada. Apabila sakit (seperti luka dan patah) telah sembuh maka batallah sapu dan ia wajib dibasuh.

     Sekiranya tempoh sapu telah tamat, sedangkan dia dalam keadaan berwudhuk, maka wajib dia sama ada menyapu atau membasuh anggota yang terlibat (anggota yang dibuang balutannya) dan juga anggota wudhuk selepas anggota tersebut mengikut sebagaimana yang diwajibkan (disapu seperti kepala atau basuh seperti kedua tangan).

     Hukum pada al-jabaait (balutan) sama sahaja sama ada yang berkaitan dengan hadas kecil atau hadas besar. Kecuali dalam masalah hadas besar, sekiranya tempoh sapu telah tamat, seperti ia mandi wajib dalam keadaan berbalut, kemudian setelah beberapa hari, luka atau patahnya sembuh, maka ketika itu dia hanya wajib membasuh di tempat yang dibalut sahaja dan tidak wajib membasuh seluruh badannya (Berlainan dengan wudhuk; wajib dibasuh atau disapu anggota yang dibuka balutannya  dan anggota wudhuk yang selepasnya).

     Orang yang memakai balutt wajib mengqadakan solat sekiranya balut tersebut berada dalam salah satu keadaan berikut :
1. Apabila dia meletakkan balutan itu dalam keadaan tidak suci (berhadas) dan dia uzur (tidak dibenarkan) membukanya.
2. Balutan itu berlaku pada anggota tayammum iaitu muka dan kedua tangan.
3.Apabila kawasan yang sihat dibalut melebihi kadar balutan pada tempat sakit


Wallahu A'lam.

Jika terdapat kesalahan, silalah perbetulkan. Pada awalnya, tidak berani saya untuk menulis dalam bab yang berkaitan fiqah tetapi diberanikan juga kerana kalau terdapat kesalahan dalam tulisan ini, ada tegurannya. Jika tidak ditulis, tiada tegurannya.

Semoga kita dapat mengambil apa yang baik dan membuang apa yang buruk.

Walhamdulillahi Rabbil-'Alamin. DARI ; http://theswordofallah.blogspot.com/2012/10/bersuci-perkara-yang-perlu-diamati.html

0 ulasan:

Catat Ulasan